Cubaan seludup lebih 1,000 paket minyak masak bersubsidi gagal

LAHAD DATU: Cubaan menyeludup lebih 1,000 paket minyak masak bersubsidi gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah lori dalam serbuan di Kampung Atiam, di sini, petang semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Amri Abdul Rahman berkata, operasi kira-kira jam 3.10 petang itu dijalankan hasil maklumat risikan.

Menurutnya, sebuah lori jenis rigid jenama Isuzu yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 61 tahun ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa beberapa bungkusan plastik hitam yang disorok di bawah kain kanvas.

“Pemeriksaan lanjut menemui 64 kotak minyak masak bersubsidi jenama Cap Mawar dengan setiap kotak mengandungi 17 paket, menjadikan keseluruhan 1,088 paket,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membawa bekalan berkenaan.

“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM42,790 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Amri berkata, pihaknya akan terus memperketat kawalan bagi mengekang kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi daripada terus berleluasa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama