Mutiara Ramadan Platform Pengukuhan Rohani Masyarakat

 

KOTA KINABALU : Penganjuran program Mutiara Ramadan merupakan antara platform bagi pengukuhan rohani dalam usaha membina masyarakat yang maju serta ampuh sahsiahnya.

Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, umat Islam kini hidup dalam zaman yang penuh dengan cabaran nilai dan pemikiran.

“Umat Islam perlu menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama dan naskah rujukan dalam mendepani pelbagai cabaran pemikiran serta sosial yang melanda masyarakat masa kini.

“Al-Quran adalah penawar bagi hati yang gelisah dan cahaya yang memimpin manusia keluar daripada kegelapan. Ia bukan sekadar dibaca, malah perlu difahami dan diamalkan sebagai sahabat dalam kehidupan seharian,” katanya ketika merasmikan Program Mutiara Ramadan di Dewan Saadah, Wisma MUIS, pada Jumaat.

Beliau menyatakan Ramadan juga merupakan bulan tarbiah yang mendidik umat Islam tentang kesabaran, keikhlasan dan ketaqwaan.

Juliah turut berharap agar usaha murni ini akan terus diperkasa pada masa hadapan.

“Semoga dengan penganjuran program sebegini akan melahirkan masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut pembangunan fizikal, tetapi juga kukuh dari segi akhlak dan spiritual.

“Marilah kita menjadikan Ramadan ini sebagai titik perubahan, membina jiwa yang lebih tenang,menyucikan hati dari sifat-sifat mazmumah, dan menghidupkan rumah tangga serta Masyarakat dengan Cahaya Al-Quran,” ujarnya.

Program tersebut merupakan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan MUTIARA GRS serta beberapa agensi di negeri ini bagi mengimarahkan sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sabah.

Majlis itu turut menampilkan penceramah jemputan dari Jabatan Syariah, Ekonomi dan Governan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail yang menyampaikan ceramah bertajuk 'Mutiara Ramadan: Membina Jiwa Menyucikan Hati Dengan Al-Quran'.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama