![]() |
| Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau kerana disyaki menyerang dan mencerakan seorang mekanik di Kampung Kongsi 8, di sini, semalam. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU: Niat mahu mengambil upah membaiki motosikal bertukar tragedi apabila seorang mekanik diserang dengan besi oleh lelaki yang enggan membayar bayaran kerja di Kampung Kongsi 8, di sini, semalam.
Sebelum itu, mangsa yang datang untuk membaiki motosikal di rumah suspek mengambil keputusan meninggalkan kerja apabila pelanggan itu enggan membayar upah seperti dijanjikan.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan suspek yang kemudian bertindak agresif dengan melastik kaki kiri mangsa menggunakan sebatang besi halus hingga menembusi kakinya.
Akibat kecederaan serius itu, mangsa yang meronta kesakitan dibawa ke hospital sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan besi yang tertusuk di kakinya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes mendatangkan cedera dengan senjata dan ugutan jenayah membabitkan seorang mekanik di Kampung Kongsi 8.
“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 32 tahun di lokasi kejadian.
"Hasil semakan juga mendapati suspek memiliki 11 rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
