KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) merancang memperkasa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negeri itu bagi memastikan anak-anak Sabah tidak ketinggalan dalam pembelajaran abad ke-21.
Menterinya, Datuk James Ratib, berkata perancangan itu sedang dirangka menerusi langkah strategik termasuk kerjasama dengan syarikat pembangunan AI, Aras Integrasi Sdn. Bhd., selepas beliau mengadakan kunjungan hormat ke syarikat berkenaan di Menara TM, di sini, Selasa lalu.
Menurutnya, antara fokus utama ialah pelaksanaan inisiatif One-Staff/One-AI yang dicadangkan bermula di peringkat KPSTI sebelum diperluaskan ke kementerian lain, bertujuan meningkatkan literasi serta keupayaan penggunaan AI dalam kalangan penjawat awam dan sektor pendidikan.
“Pembangunan modul AI khusus untuk Institut Pendidikan Guru (IPG) juga diberi penekanan supaya pendidik dilengkapi kemahiran digital dan teknologi terkini, sejajar dengan keperluan sistem pendidikan masa kini,” katanya.
Beliau berkata, KPSTI turut melihat potensi membangunkan modul AI yang selari dengan silibus buku teks Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar dapat dimanfaatkan oleh sekolah di kawasan bandar dan luar bandar.
Dalam pada itu, James menegaskan kepentingan pembangunan penyelesaian AI luar talian (offline) bagi memastikan pelajar serta warga pendidik di kawasan pedalaman atau berdepan capaian internet terhad tidak tercicir daripada arus pembelajaran digital.
Katanya, pembangunan platform AI pelbagai bahasa termasuk bahasa dan dialek tempatan Sabah juga diketengahkan sebagai pendekatan inklusif, selari dengan kepelbagaian sosiobudaya negeri itu.
“Kerajaan Sabah kekal komited memanfaatkan teknologi AI secara inklusif, beretika dan bertanggungjawab demi memastikan akses pendidikan berkualiti, saksama serta bersedia menghadapi masa depan, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya.
Pertemuan itu turut disertai barisan pengurusan tertinggi Aras Integrasi Sdn. Bhd. serta delegasi KPSTI yang terdiri daripada menteri dan pegawai kanan kementerian.
