Pekan Lama Papar terus diperkasa, kekal nadi ekonomi

PAPAR: Pekan Lama Papar terus diberi perhatian sebagai nadi pentadbiran dan ekonomi tradisional daerah ini menerusi pelaksanaan pembangunan serta naik taraf prasarana secara berperingkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir berkata, kawasan bersejarah itu tidak akan dipinggirkan walaupun pembangunan pesat berlaku di pekan baharu.

Katanya, Pekan Lama Papar mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan berasaskan nostalgia, perniagaan kecil serta warisan komuniti yang menjadi identiti daerah berkenaan.

“Kebanyakan peniaganya terdiri daripada saudara-saudara Tionghoa kita. Jadi khususnya di Pantai Manis ini, kita mahu terus merancang supaya pekan lama ini tidak ketinggalan dari segi pembangunan dan kemajuannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Masyarakat Cina DUN Pantai Manis, di sini.

Menurutnya, antara fokus utama ketika ini adalah penambahbaikan prasarana untuk peniaga kecil, aspek kebersihan dan pengurusan kawasan awam memandangkan Papar terkenal dengan makanan serta kuih tradisional selain pasar sayur dan pasar ikan yang menjadi tumpuan ramai.

“Kawasan tamu yang amat terkenal di Papar sudah dinaik taraf. Ada kawasan berbumbung untuk perlindungan dan pengurusannya juga semakin teratur.

“Usaha pembangunan ini akan diteruskan secara berperingkat dan seimbang supaya Pekan Lama Papar kekal berdaya saing serta menjadi kebanggaan masyarakat Papar,” katanya.

Mengulas peranan Sabah Urban Development Corporation (SUDC), Saifuddin berkata, walaupun pembangunan agensi itu tidak begitu ketara di Pekan Lama Papar, projek perumahan terbesar SUDC di daerah ini sedang dilaksanakan di Lokawi Heights.

Selain itu, katanya, projek komersial rumah kedai di Jalan Binsulok turut dibangunkan bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat.

Beliau berkata, pembangunan Pekan Lama Papar akan terus dilaksanakan secara berimbang tanpa mengabaikan nilai warisan, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta kepentingan peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi kawasan itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama