UMS perkenal bahasa Turki, tingkatkan kemahiran antarabangsa pelajar

KAYSERI: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh agenda pengantarabangsaan dengan memperkenalkan Bahasa Turki sebagai kursus Bahasa Ketiga di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata langkah strategik itu bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran bahasa asing yang semakin relevan dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa pelajar dengan kemahiran bahasa asing baharu, malah menyokong pengajian hubungan antarabangsa, diplomasi dan kajian serantau, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin. 

Pengenalan bahasa tersebut selaras dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) UMS bersama Universiti Erciyes, Türkiye yang diwakili oleh Profesor Dr Fatih Altun. 

Katanya, dua pelajar pertukaran UMS yang kini mengikuti pengajian di Türkiye berkongsi pengalaman mereka bagi menunjukkan manfaat program pertukaran akademik ini kepada pembangunan pengetahuan dan kemahiran pelajar.

Kasim menegaskan bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkukuh hubungan pendidikan Malaysia–Türkiye, selaras dengan aspirasi universiti sebagai “The Brain of Borneo.”


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama