PPAUHS buka peluang rakyat Sabah dapatkan pensijilan Mutawwif


KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Umrah dan Haji Negeri Sabah (PPAUHS) membuka peluang kepada rakyat Sabah yang berminat untuk mendapatkan pensijilan sebagai mutawwif. 

Presidennya, Nor Azmi Abi Shafian, berkata peluang itu bertujuan untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan dalam industri umrah dan haji.

“Kami ingin melaksanakan program melahirkan mutawwif dalam kalangan rakyat Sabah sendiri. Sesiapa yang berminat, boleh datang berhubung dengan persatuan, kami akan kumpul nama dan seterusnya mengadakan kursus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Expo Pelancongan Destinasi Muslim dan Umrah Sabah 2026 di hotel Citadines, di sini, pada Isnin. 

Menurutnya, peranan mutawwif bukan sekadar pemandu pelancong, sebaliknya memerlukan nilai, ilmu dan tanggungjawab yang lebih besar, khususnya dalam membimbing jemaah menunaikan ibadah umrah dan haji.

Bekas pengerusi PPAUHS, Awang Suhaimi Awg Mohd Said menekankan kepentingan penggunaan mutawwif dan petugas berkelayakan bagi memastikan pengalaman ibadah umrah dan ziarah oleh rakyat Sabah berjalan lancar.

Katanya, pihak persatuan berusaha menyalurkan semangat rakyat Sabah untuk menggunakan agensi pelancongan tempatan yang diyakini berkualiti. 

“Kami pastikan semua aspek, termasuk mutawwif dan petugas, dikendalikan oleh agensi tempatan. 

“Ini penting untuk menjaga tahap ilmu dan penyampaian semasa membimbing jemaah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PPAUHS, Norhafizah Aliakbar berharap lebih ramai golongan muda akan menyertai industri ini.

“Setakat ini, kami telah membawa satu kumpulan mutawwif menjalani latihan praktikal hampir dua bulan di Mekah dan Madinah. Kami berharap lebih ramai anak muda Sabah menyertai industri ini,” tambahnya. 

Ekspo Pelancongan Muslim Sabah 2026 akan berlangsung bermula dari tujuh hingga 10 Mei 2026 bertempat di Event Hall Kompleks Karamunsing. 

Ekspo bersiri itu bertujuan memudahkan rakyat tempatan mendapatkan perkhidmatan mesra Muslim yang disediakan oleh syarikat pelancongan Muslim di Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama