Lelaki dicekup beri maklumat palsu mohon MyKad

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah selepas disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan bagi tiga individu berasingan.

Suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi, 4 Februari lalu di Jabatan Pendaftaran Negara Kota Kinabalu oleh pegawai penguat kuasa JPN Sabah.

Menurut kenyataan JPN Sabah, lelaki berkenaan disyaki bertindak sebagai penganjur atau penjamin dengan mengemukakan maklumat palsu, termasuk mengaku sebagai bapa dalam beberapa permohonan kad pengenalan.

“Perbuatan itu disyaki dilakukan bagi melancarkan permohonan kad pengenalan untuk individu terbabit. 

"Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya 

Sehubungan itu, JPN Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang cuba memberikan maklumat palsu atau mengemukakan dokumen tidak sah dalam urusan pendaftaran negara.

“Tindakan penguatkuasaan ini penting bagi memastikan integriti dan ketelusan sistem pendaftaran negara sentiasa terpelihara,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama