KOTA KINABALU: Persatuan
Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah (UKKWA) mengagihkan 10,000 pek bubur
lambuk di tiga masjid sekitar Sepanggar sempena Program Ukhuwah MADANI Parlimen
Sepanggar, bagi mengimarahkan bulan Ramadan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, selain
mengimarahkan Ramadan, program tersebut turut bertujuan menghidupkan peranan
masjid sebagai institusi masyarakat yang aktif dengan program kemasyarakatan
dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.
"Tahniah kepada UKKWA dan
rakan strategik serta sukarelawan masjid
kerana telah menjayakan program ini yang merupakan satu inisiatif yang
sangat baik dalam kita meningkatkan amalan yang baik dan bermanfaat pada bulan
ramadhan yang mulia ini.
"Program ini juga bertujuan mengimarahkan masjid agar masjid
menjadi institusi masyarakat yang dipenuhi dengan program-program
kemasyarakatan yang menyumbang semangat bersatu padu antara satu sama
lain," beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan di
Masjid Al-Mujahirin, Kg. Warisan, pada Ahad.
Menurut beliau, program seumpama
itu wajar diteruskan dengan penglibatan lebih ramai pihak, khususnya golongan
belia serta mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
"Kita mahu mendekatkan
golongan mahasiswa dengan masyarakat agar mereka turun padang dan memahami
situasi serta keperluan masyarakat di kampung-kampung, sebagai contoh program
pada hari ini memasak bubur lambuk yang memerlukan tenaga yang ramai untuk
menjayakannya," jelasnya.
Agihan bubur lambuk itu
melibatkan Masjid Al-Hidayah, Kampung Sabang (3,000 pek), Masjid Al-Ikhwan,
Taman Kuala Menggatal (4,000 pek) dan Masjid Al-Mujahirin, Kampung Warisan
(3,000 pek), yang dilaksanakan dalam tempoh dua hari pada Sabtu dan Ahad.
Program tersebut dianjurkan oleh
UKKWA dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat antaranya
ASCOT Academy, Pertubuhan SALWA Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), serta para sukarelawan yang terlibat.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan
Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah (UKKWA), Datin Rosnih Nasir; Pengerusi
Masjid Al-Mujahirin Kampung Warisan, Aliudin Mahdar; Pengerusi SALWA Sabah,
Profesor Dr. Arsiah Baharum; Pengerusi Sahabat Penggerak MADANI Sabah,
Hasanuddin Guliling; Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia Sabah (WADAH),
Abdul Manap Mahmud; YDP ABIM Sabah, Zikri Zainuddin; Pengarah Pemasaran Ascot
Academy, Norliza Dugad; Pengarah Parlimen Sepanggar, Ashim Jamat.
