KOTA KINABALU: Sebagai usaha
menarik kemasukan pelabur, Expo Antarabangsa Sabah (SIE) 2026 akan diadakan di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 4 hingga 6 September ini.
Penasihat Persekutuan Industri
Sabah (FSI), Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau berkata SIE 2026 dijangka
memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan strategik di samping
membuka peluang jaringan perniagaan antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.
"Ekspo tersebut bukan sahaja
menjadi medan pameran produk dan perkhidmatan, malah berfungsi sebagai platform
padanan perniagaan, perkongsian teknologi serta pertukaran idea yang mampu
merangsang pertumbuhan sektor perindustrian negeri.
"SIE 2026 memberi peluang
kepada penggiat industri Sabah untuk memperluas pasaran di samping menarik
minat pelabur terhadap pelbagai sektor berpotensi termasuk pembuatan,
teknologi, logistik dan perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada
media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa, pada
Isnin.
Beliau yang juga Presiden
Kehormat FSI memaklumkan kunjungan itu bertujuan menjemput Tun Musa merasmikan
SIE 2026 selain memberi taklimat mengenai aktiviti semasa serta peranan FSI
dalam menyokong pembangunan sektor perindustrian di Sabah.
