PENAMPANG : Kerajaan negeri terus
komited dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa ibunda sebagai teras identiti
unik Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk
Ewon Benedick berkata, langkah itu penting memandangkan subjek Bahasa
Kadazandusun kini sudah menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan negara
di sekolah rendah dan menengah di Sabah.
"Saya akan kemukakan kepada
Ketua Menteri dan mesyuarat Kabinet Negeri keperluan menyokong pengajaran
bahasa etnik ini melalui pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada
pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti seperti Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menawarkan
pengajian bahasa ini.
"Ini boleh menjadi galakan
kepada pelajar memilih bidang ini dan seterusnya menjadi tenaga pengajar subjek
tersebut di sekolah.
"Dengan kerjasama pelbagai
pihak termasuk Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kelestarian bahasa ibunda etnik
Sabah diyakini dapat terus dipertahankan sebagai warisan dan identiti
negeri," katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan sambutan Hari
Bahasa Ibunda Sedunia anjuran Kadazan Language Foundation (KLF) di Dewan Huguan
Siou, Kampung Tuavon, pada Sabtu.
Menurutnya, selain Bahasa
Kadazandusun usaha memperkenalkan empat lagi bahasa etnik iaitu Kadazan Tangaa,
Murut Timogun, Dusun Lotud dan Tatana kini sedang dimurnikan sebelum
dilaksanakan secara lebih meluas di sekolah.
Dalam majlis berkenaan, Ewon yang
juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan turut melancarkan
Webonary Kadazan–Melayu–Inggeris iaitu pangkalan data digital yang
menghimpunkan lebih 30,000 entri Bahasa Kadazan dan hampir 30,000 entri Bahasa
Melayu.
Katanya, inisiatif digital itu
memudahkan orang ramai mendapatkan terjemahan secara pantas melalui telefon
pintar tanpa perlu membawa kamus bercetak yang tebal.
"Ini antara usaha memastikan
bahasa ibunda bukan sahaja diajar di sekolah, tetapi dibangunkan dalam pelbagai
platform termasuk digital supaya terus digunakan generasi muda," katanya.
Sebagai tanda sokongan, beliau
meluluskan peruntukan RM100,000 daripada peruntukannya sebagai Ahli Parlimen
Penampang serta dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pengerusi KKIP bagi
menyokong usaha KLF membangunkan bahasa ibunda etnik Sabah.
Beliau turut menyalurkan RM50,000
kepada Persatuan Bahasa Etnik Sabah (PBES) bagi membangunkan lebih banyak bahan
pendidikan untuk empat bahasa etnik yang dicadangkan diperkenalkan di sekolah.
Turut disampaikan, Anugerah
Kesusasteraan Tan Sri Bernard Dompok kepada pemenang pertandingan novel Bahasa
Kadazandusun anjuran KLF.
Hadir sama, Pengerusi SME Corp
Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Pengerusi Lembaga Pelabuhan-pelabuhan
Sabah, Datuk Donald Mojuntin ADUN Moyog, Pengerusi Pemegang Amanah KLF, Datuk
Philip Lasimbang dan Ketua Pegawai Eksekutif KLF, Rita Lasimbang.
