TAWAU: Tindakan dua wanita warga asing yang dipercayai ‘tunjuk samseng’ dengan mengugut jiran sendiri membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam satu operasi di Bandar Sabindo, di sini.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang selepas dipercayai terbabit dalam kejadian ugutan jenayah terhadap wanita tempatan berusia 25 tahun, Disember lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang di hadapan sebuah kedai di Kampung Kurnia, Batu 4 Jalan Apas.
Menurutnya, insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara jiran sebelum kedua-dua suspek bertindak mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap mangsa.
“Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tawau bagi tindakan lanjut.
“Bertindak atas laporan dan risikan dijalankan, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Polis memandang serius sebarang bentuk ugutan terhadap mana-mana individu dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.
