GLC, syarikat swasta digesa bantu mangsa banjir di Sabah

Kampung Kabatasan Laut

RANAU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di negeri ini digesa tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di beberapa daerah di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata selain bantuan digerakkan kerajaan negeri, sokongan daripada GLC serta sektor swasta amat diperlukan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela.

Katanya, situasi banjir kali ini antara yang terburuk pernah berlaku, khususnya di kawasan terjejas sehingga memberi kesan besar kepada komuniti setempat.

“Kalau kita lihat gambar melalui televisyen dan sebagainya, masalah ini cukup teruk dan rumit serta memberi kesan besar kepada penduduk terlibat.

“Sebab itu seperti yang dinyatakan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, semua agensi kerajaan negeri telah digerakkan untuk membantu mereka yang terkesan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Pesuruhjaya Polis Sabah bersama warga IPD Ranau, semalam.

Masidi berkata, keutamaan ketika ini adalah menjamin keselamatan mangsa dengan memindahkan mereka ke pusat penempatan sementara selain memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

“Di sesetengah kawasan, jalan raya terputus dan sistem perhubungan terganggu. Jadi kita perlu pastikan bekalan makanan sampai kepada semua yang terlibat.

“Paling penting, pihak pengurusan di daerah perlu mengambil inisiatif lebih besar supaya tiada mangsa tercicir daripada menerima bantuan kerajaan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru GLC dan syarikat swasta agar berganding bahu bersama kerajaan dalam menyalurkan bantuan kewangan, makanan dan keperluan asas kepada mangsa.

“Selain bantuan kerajaan, saya menyeru badan-badan berkanun, GLC dan syarikat swasta supaya bersama-sama membantu mereka yang terjejas akibat banjir besar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi turut menyentuh mengenai pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menurutnya sering disalah tafsir sebagai projek, sedangkan ia sebenarnya tema pembangunan dan hala tuju kemajuan negeri.

Beliau menjelaskan, kejayaan pelaksanaan dasar termasuk SMJ 2.0 bergantung kepada kecekapan pengurusan serta tiga elemen utama iaitu sense of purpose, sense of urgency dan common sense.

“Kita mesti tahu arah tuju yang hendak dicapai, tidak melengah-lengahkan pelaksanaan dan paling penting menggunakan kebijaksanaan serta inisiatif sendiri tanpa perlu menunggu arahan.

“Gabungan ketiga-tiga elemen itu diyakini mampu memastikan segala dasar dan pelaksanaan bantuan, termasuk ketika berdepan bencana, berjalan lancar dan berkesan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama