Langkah intervensi berjaya stabilkan bekalan air di Mukim Kinarut


PAPAR: Penduduk Kampung Kawang, di sini, menarik nafas lega apabila bekalan air terawat di kawasan itu kini kembali stabil dan tidak lagi tertakluk kepada jadual catuan sejak kira-kira tiga minggu lalu.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kestabilan itu hasil langkah intervensi segera yang dilaksanakan kerajaan negeri susulan gangguan bekalan kritikal yang berlaku sejak penghujung Disember 2025.

Katanya, langkah berkenaan membabitkan peningkatan kapasiti rawatan di LRA Kogopon sebanyak 10 peratus atau empat juta liter sehari (JLH), termasuk kerja menaik taraf pam sedia ada serta saluran paip ke tangki utama P3 di kampung berkenaan.

“Alhamdulillah, sejak langkah intervensi ini siap dilaksanakan kira-kira tiga minggu lalu, penduduk memaklumkan bekalan air sudah stabil dan tidak lagi tertakluk kepada jadual catuan.

“Kerja-kerja berkenaan disiapkan dalam tempoh dua minggu dan kini memberi manfaat kepada penduduk Mukim Kinarut termasuk Kampung Kawang,” katanya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian ketika ditemui pada Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Kampung Kawang, hari ini.

Armizan berkata, sebelum ini beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian segera terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, langkah itu adalah penyelesaian jangka pendek sementara menunggu projek naik taraf LRA Kogopon 2 yang bakal menambah kapasiti rawatan sebanyak 40 JLH.

“Apabila siap kelak, ia akan menambah dan menstabilkan bekalan air bagi keseluruhan Parlimen Papar serta kawasan utara Parlimen Kimanis dan selatan Parlimen Putatan.

“Saya akan terus memantau supaya projek ini siap mengikut jadual pada penghujung tahun 2026,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan warga Jabatan Air Negeri Sabah, khususnya Jabatan Air Papar yang bertungkus-lumus menyelesaikan isu bekalan air di kawasan terjejas.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama