Tun Musa Rasmi Kompleks Anak Yatim, Asnaf As-Sakinah Papar

PAPAR: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman merasmikan Kompleks Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah bernilai RM3.1 juta hasil sumbangan pelbagai pihak selama lebih 10 tahun.

Menurut Tun Musa, menjaga kebajikan anak-anak yatim bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi tuntutan agama yang wajib dipikul bersama khususnya bagi mereka yang dikurniakan kelebihan dari segi rezeki, kedudukan dan kemampuan.

"Dalam ajaran Islam, memelihara dan menyayangi anak yatim bukan sekadar amalan sunat, bahkan ia adalah tuntutan yang sangat dititikberatkan. Anak-anak yatim hendaklah dilayan dan disantuni dengan penuh kasih sayang, dihormati maruah dan dipelihara kebajikan mereka. 

"Islam mengajar kita agar tidak meminggirkan golongan ini, sebaliknya mendekati mereka dengan kelembutan dan keikhlasan," ujarnya ketika berucap merasmikan Kompleks Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah, Papar, pada Khamis.

Beliau berkata, pembinaan kompleks tersebut  adalah tanda keprihatinan masyarakat terhadap anak-anak yatim dan asnaf serta mencerminkan tanggungjawab amalan sedekah jariah dalam jiwa umat Islam.

"Saya pernah beberapa kali melawat premis ini yang dahulunya hanyalah merupakan sebuah bangunan kecil yang serba kekurangan dan tidak begitu selesa untuk menampung keperluan anak-anak yang ditempatkan di sini.

"Namun, berkat usaha gigih serta semangat tidak pernah mengenal putus asa daripada pihak pengurusan dan para penyumbang, hari ini kita dapat menyaksikan wujudnya sebuah bangunan yang lebih sempurna, kondusif dan sesuai untuk didiami," ujarnya yang turut menyumbangkan RM10, 000 kepada kompleks yang kini menempatkan 33 anak yatim dan asnaf itu.

Beliau juga menzahirkan harapan agar pengurusan kompleks menekankan aspek pendidikan, pembangunan rohani dan kemahiran hidup bagi membolehkan anak-anak berdikari dan menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan.

"Kompleks Anak Yatim As-Sakinah ini bukan sahaja berperanan sebagai tempat perlindungan, tetapi juga sebagai institusi pembentukan sahsiah, pendidikan dan pembangunan masa depan anak-anak.

"Saya merasa sukacita kerana anak-anak yatim dari Kompleks As-Sakinah ini telah mendapat peluang pendidikan yang baik di beberapa universiti di seluruh negara," ujarnya.

Di samping itu, Tun Musa menasihati para penghuni agar belajar dengan tekun, berdisiplin dan berusaha mencapai cita-cita serta mengingatkan kehilangan ibu bapa bukanlah pengakhiran segala-galanya.

Dalam majlis yang sama, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Panglima Yahya Hussin menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada Lembaga Pemegang Amanah Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah, Samin Ongki.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Ariffin Arif dan Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah  Datuk Seri Ghulamhaidar Yusof Khan Bahadar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama