Kes wanita dikerat tujuh: Warga emas dituduh membunuh



KOTA KINABALU : Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui dikerat di Indah Permai, Sepanggar, 11 Februari lalu.

Tertuduh, Piluta Samad, 71, yang hadir berpakaian serba oren tanpa diwakili peguam hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki tempatan itu didakwa membunuh Hamidah Husin, 44, pada 11 Februari 2026, antara jam 6 petang dan 7 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, minimum 12 sebatan.

Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon tarikh sebutan lanjut sementara menunggu laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA), patologi, forensik dan kimia selain tidak menawarkan jaminan memandangkan keseriusan kes itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus ditahan sementara menunggu tarikh terbabit. 

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya dikerat kepada tujuh bahagian sebelum dibuang di beberapa tapak pelupusan sampah.

Bagaimanapun, dua bahagian anggota badan mangsa, iaitu kaki kiri dan tangan kanan, masih belum ditemukan sehingga kini.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama