SICC ketengahkan konsep makanan sunnah, kembalikan nostalgia masakan kampung-Rosmawati

Rosmati ketika ditemui pemberita selepas berbuka puasa di Resepi Nusantara Asian Buffet, di sini, pada Khamis.


KOTA KINABALU: Konsep makanan sunnah dan hidangan kampung menjadi tarikan utama penganjuran bufet tahun ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC), Datuk Rosmawati Lasuki berkata daripada 850 hidangan yang disediakan, konsep itu diperkenalkan bagi mengetengahkan warisan kulinari yang semakin jarang ditemui.

“Tahun ini kita angkat resipi Nusantara dengan memperkenalkan makanan sunnah dan juga makanan kampung yang mungkin mengingatkan kita kepada masakan nenek-nenek kita dulu.

“Makanan sunnah ini dibuat berdasarkan kajian, makanan apa yang Nabi Muhammad SAW makan ketika berbuka termasuk jenis kurma dan hidangan yang diambil ketika berbuka puasa.

“Kita mahu beri pengalaman berbeza kepada pengunjung, malah di ruang itu turut dialunkan selawat sebagai kelainan konsep,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berbuka puasa di Resepi Nusantara Asian Buffet di SICC, di sini, pada Khamis.

Katanya, selain hidangan moden seperti masakan Barat dan Cina, pihaknya menampilkan menu tradisional seperti sambal terung pipit, pisang ijo serta pelbagai resipi dari etnik yang ada di Sabah.

“Kita mahu tunjukkan Sabah ini kaya dengan pelbagai etnik dan setiap etnik ada makanan tersendiri. Ini bukan sekadar makan, tetapi satu showcase budaya dan komuniti,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Rosmawati berkata konsep ‘Farm to table’ turut diperkenalkan bermula tahun ini dengan mendapatkan bekalan bahan mentah terus daripada pengusaha tempatan.

“Chef kita turun ke kampung dan buat tempahan awal sehingga tiga bulan bagi memastikan bekalan konsisten. Kita perlukan dalam satu tan udang, jadi kita dapatkan daripada pembekal tempatan termasuk melalui FAMA dan SAFMA.

“Bila orang makan di sini, bukan sahaja mereka kenyang, tetapi orang kampung juga dapat rezeki hasil permintaan yang kita wujudkan,” ujar beliau.

Sementara itu, Chef masakan melayu, Muhammad Hussin berkata penyediaan ratusan hidangan itu memerlukan komitmen tinggi apabila pasukan dapur memulakan kerja seawal jam 2.00 pagi.

“Untuk sediakan lebih 850 hidangan memang mencabar. Kita mula daripada awal pagi kerana jumlahnya bukan sedikit.

“Kita ikut tradisi nenek moyang, jadi masakan perlu dibuat dengan penuh kasih sayang. Itu yang beri rasa sebenar kepada makanan.

“Kita mahu orang yang datang rasa nikmat makanan yang masih panas dan fresh, bukan sekadar ambil dari buffet biasa,” kata beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama