Tujuh rumah musnah, anggota bomba cedera dalam kebakaran

KINABATANGAN: Tujuh rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkalan Bukit Garam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, seorang anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB) dilaporkan cedera ketika operasi memadam kebakaran dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 10.08 malam. 

Katanya, sepasukan 17 anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba pada jam 10.21 malam, didapati kebakaran membabitkan tujuh rumah jenis tidak kekal dengan enam daripadanya terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi musnah kira-kira 20 peratus.

“Turut terbakar sepenuhnya sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, rumah yang musnah sepenuhnya ialah Rumah No.24 dan No.32 masing-masing dua tingkat, Rumah No.39, Rumah No.27 (dua tingkat) serta dua rumah tanpa nombor yang dilaporkan kosong ketika kejadian.

Beliau berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan daripada sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

“Selain itu, satu lagi aliran 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan pam angkut dari sumber air terbuka iaitu sungai berhampiran turut digunakan bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.40 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain,” katanya.

Hairi berkata, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 10 rumah berhampiran daripada turut musnah dalam kebakaran berkenaan.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama