Shafie sokong wujud Konsulat India di Sabah

TAWAU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan mewujudkan Konsulat India di Sabah yang disifatkan mampu memberi impak positif kepada pembangunan dan ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu perlu dilihat dari sudut kepentingan jangka panjang terutama dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke Sabah.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, Sabah tidak boleh bersikap tertutup sebaliknya perlu memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara luar termasuk India.

“India mempunyai kekuatan dalam beberapa sektor seperti perubatan dan kesihatan yang boleh diteroka di Sabah melalui pelaburan strategik. 

"Ini bukan sahaja merancakkan ekonomi, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Tahun Baharu Cina di perkarangan Fuji Mart Sin On, di sini, baru-baru ini.

Shafie berkata, kewujudan konsulat akan memudahkan urusan pelaburan dan memperkemaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur untuk menanam modal di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan perlu memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Kita mahu peluang pekerjaan yang diwujudkan nanti diisi oleh anak tempatan. Itu yang lebih utama supaya rakyat negeri ini turut menikmati hasil pembangunan,” katanya.

Terdahulu, Anwar Ibrahim menyokong keputusan India untuk membuka konsulat baharu di Kota Kinabalu, Sabah, sekali gus memperlihatkan hubungan Malaysia-India yang semakin kukuh.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri India Narendra Modi, yang tiba di Malaysia baru-baru ini untuk lawatan rasmi selama dua hari.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama