KOTA KINABALU: Sabah tidak memerlukan Konsulat India kerana majoriti masyarakat India di negeri ini adalah warganegara Malaysia dan jumlahnya kecil, tegas Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata, Sabah juga tidak memerlukan kemasukan pekerja dari India kerana negeri ini sudah mempunyai jumlah pekerja asing mencukupi dari Indonesia dan Filipina yang fasih berbahasa Melayu.
Katanya, Sabah tidak perlu mengambil pekerja India kerana kita sudah ada pekerja asing lebih daripada mencukupi dari Indonesia dan Filipina.
“Oleh itu, kami tidak menyokong penubuhan Konsulat India di Sabah. Tolong jangan cipta masalah baharu untuk kami di Sabah.
“Kita memerlukan Konsulat Filipina, bukan Konsulat India,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Dr Jeffrey mengulas kenyataan Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap keputusan India untuk membuka konsulat baharu di Kota Kinabalu dalam sidang media bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi pada 8 Februari lalu.
Penubuhan konsulat itu dilaporkan bertujuan mempermudah urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan, perancangan dan pertukaran kebudayaan, selain memperkukuh sokongan kepada komuniti India serta perdagangan yang beroperasi di wilayah sekitar.
Bagaimanapun, menurut Dr Jeffrey, masyarakat Sabah menunjukkan pelbagai reaksi dan kebimbangan di media sosial berhubung rasional pembukaan konsulat berkenaan.
Katanya, ramai mempersoalkan keutamaan penubuhan Konsulat India di Sabah sedangkan komuniti warga dan keturunan India di Semenanjung Malaysia jauh lebih besar.
“Sentimen yang kuat menunjukkan keperluan Konsulat Filipina di Sabah lebih penting dan mendesak, terutama berkaitan isu PATI, rentas sempadan dan keperluan perkhidmatan konsulat untuk rakyat Filipina di Sabah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Perdana Menteri mengadakan perbincangan diplomatik dengan Presiden Filipina bagi menubuhkan konsulat negara itu di Sabah.
Menurutnya, berdasarkan statistik rasmi, terdapat jumlah warganegara Filipina yang besar dan semakin meningkat di Sabah, tidak termasuk mereka yang tidak bernegara tetapi berasal dari negara berkenaan.
Dalam masa sama, beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan penubuhan konsulat asing di Sabah wajar mengambil kira pandangan dan keperluan rakyat negeri ini secara menyeluruh supaya tidak menimbulkan polemik berpanjangan.
