KOTA KINABALU : Sebanyak 2,000
pek bubur lambuk diagihkan kepada masyarakat sempena Program Cahaya Ramadan
2026 anjuran Telekom Malaysia (TM) Sabah dengan kerjasama Adabi.
Pengurus Besar TM Sabah, Sahrimin
Mohd Iman berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Yayasan TM dan
memasuki tahun kedua pelaksanaannya dengan penglibatan lebih 100 anggota NGO TM
Sabah terdiri daripada Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT),
Persatuan Isteri-isteri dan Anggota Wanita Telekom Malaysia (Tiaranita) serta
Kelab TM Sabah.
"Program ini diadakan
bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat selain
menyemai nilai kemanusiaan dan keprihatinan dalam kalangan warga TM serta
masyarakat.
"Kira-kira 2,000 pek bubur
lambuk kita agihkan pada hari ini kepada masyarakat melalui masjid dan juga
barisan hadapan seperti anggota PDRM serta petugas hospital," katanya
ketika ditemui media pada program berkenaan yang berlangsung di Bangunan IPK TM
Sabah, pada Khamis.
Beliau yang juga Yang Dipertua
BAKIT Sabah berkata, program itu bertujuan memperkukuh ukhuwah dan perpaduan
dalam kalangan warga TM Sabah dan masyarakat selain mendidik serta menyantuni
semua golongan tanpa mengira latar belakang.
Selain pengagihan bubur lambuk,
TM Sabah turut melaksanakan Program Bakul Makanan anjuran Yayasan TM yang
menyasarkan kira-kira 200 penerima dalam kalangan asnaf dan fakir miskin.
"Program bakul makanan ini
akan diagihkan bermula 7 Mac pada Program Tautan Ramadan TM Sabah di Tuaran dan
kita harapkan ia dapat membantu meringankan beban penerima sepanjang bulan yang
mulia ini," katanya.
Jelasnya, pengagihan bakul
makanan turut diperluaskan ke seluruh Sabah termasuk di Sandakan, Tawau dan
Wilayah Persekutuan Labuan.
"Program ini mencerminkan
komitmen berterusan TM Sabah dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat
serta menyantuni masyarakat yang memerlukan khususnya sepanjang bulan Ramadan
ini," tambahnya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah
Penerangan Negeri Sabah, Azman Sipan.
