JPN Sabah tahan empat individu disyaki beri maklumat palsu daftar kelahiran

LAHAD DATU: Empat individu ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah dalam operasi berasingan di Pejabat JPN Daerah Lahad Datu, Isnin lalu.

Dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi JPN Sabah, memaklumkan semua individu terbabit ditahan pada 23 Februari lalu kerana disyaki terlibat memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan pendaftaran kelahiran.

Menurut kenyataan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama serta Seksyen 33(1)(a) Registration of Births and Deaths Ordinance (Sabah Cap 123).

“Siasatan dijalankan kerana disyaki dengan sengaja membuat atau membenarkan kenyataan palsu bagi tujuan pendaftaran kelahiran,” menurut kenyataan itu.

JPN Sabah menegaskan sebarang cubaan mengemukakan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran adalah satu kesalahan serius.

“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama