KOTA KINABALU : Seramai 1,000
warga kerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan tetamu jemputan dijangka
hadir ke Majlis Berbuka Puasa DBKK bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa
Aman, Isnin depan.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu,
Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata majlis tahunan sempena bulan Ramadan itu
adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kerja dan rakan-rakan
strategik DBKK.
"Menteri-menteri kabinet
negeri dan Ketua Menteri juga telah mengesahkan kehadiran mereka bagi
memeriahkan majlis ini.
"Program ini turut diisi
dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf yang
dikenal pasti melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri
Sabah (JHEAINS) serta beberapa masjid sekitar Kota Kinabalu," katanya
ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Tun Musa, pada Khamis.
Kunjungan tersebut bertujuan
untuk menjemput Tun Musa dan Isteri, Toh Puan Faridah Tussin untuk hadir ke
majlis berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Ketua
Pengarah Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan DBKK, Karim Rahim, Pengarah
Perundangan DBKK, Sairullizam Sukor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat
DBKK, Rosie Inus Molukun.
