Tiada lesen memandu, langgar lampu Isyarat merah, wanita didenda RM11,000

TAWAU : Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM11,000 keatas seorang wanita selepas mengaku bersalah atas empat kesalahan trafik sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan di Pesimpangan Telekom Januari lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjun menetapkan hukuman itu terhadap Nurazlieyyatie Ajis, 20, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang baru menamatkan pengajian di sebuah kolej tempatan di sini didakwa memandu sebuah Proton Iris tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya serta tidak bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain di kawasan lampu isyarat berhampiran Pesimpangan Telekom pada jam 7.30 malam, 16 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 79(2), Seksyen 26(1) dan Seksyen 90(1) akta sama atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah, tidak memiliki lesen memandu yang sah serta memandu kenderaan tanpa perlindungan polisi insurans.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan denda minimum kerana baru menamatkan pengajian dan sedang mencari pekerjaan tetap serta menanggung kedua ibu bapa yang tidak bekerja dan abang yang masih belajar.

Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik IPD Tawau Asisten Superintendan Joan Lee bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan mangsa mengalami kecederaan teruk manakala rakaman kejadian tular di media sosial menimbulkan reaksi meluas netizen.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 12 bulan bermula tarikh sabitan.

Tertuduh membayar denda berkenaan.


-TAMAT- 


Caption : Tertuduh Nurazlieyyatie Ajis, 20, didenda keseluruhan RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah atas empat kesalahan trafik termasuk memandu tanpa lesen, bulan lalu. Foto | SS


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama