TAWAU: Hospital Tawau mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar atau ‘Awake Craniotomy’ buat pertama kali di Pantai Timur Sabah, Isnin lalu.
Kejayaan itu diumumkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menerusi kenyataan media, pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, prosedur berkenaan dijalankan pada 23 Februari lalu di Dewan Bedah Hospital Tawau hasil kerjasama pasukan Pembedahan Saraf hospital berkenaan bersama pakar bius neuro dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Hospital Queen Elizabeth II (HQE2).
Pembedahan itu diketuai Dr Tan Shze Ee dan Dr Andy Yap Teck Cheng dengan sokongan Dr Ting Mei Sze selaku Pakar Bius Neuro serta pasukan anestesiologi Hospital Tawau.
Pesakit membabitkan seorang wanita berusia 48 tahun yang didiagnosis mengalami lesi otak sejak November tahun lalu.
Menurut JKNS, keadaan pesakit tidak menunjukkan tindak balas memuaskan terhadap rawatan awal dan gejala dialami semakin bertambah sebelum pembedahan disyorkan bagi meningkatkan kualiti hidupnya.
“Awake Craniotomy adalah pembedahan otak yang dilakukan ketika pesakit berada dalam keadaan sedar sepanjang prosedur.
“Keadaan ini penting bagi membolehkan pakar bedah menilai keberkesanan pembedahan serta memantau kesan sampingan yang mungkin timbul,” menurut kenyataan itu.
Prosedur yang mengambil masa kira-kira dua jam setengah itu berjaya dilaksanakan dengan selamat dan pesakit kini dilaporkan stabil serta menjalani pemantauan rapi.
JKNS berkata, kejayaan itu membuktikan kesiapsiagaan Hospital Tawau dalam menyediakan perkhidmatan bedah saraf setaraf hospital negeri.
"Ia sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di Pantai Timur Sabah untuk mendapatkan rawatan kepakaran tanpa perlu dirujuk ke hospital tertier, selain menjimatkan kos pesakit dan penjaga.
"JKNS akan terus memberikan komitmen untuk memperkukuh perkhidmatan kepakaran serta memperluas akses rawatan berkualiti demi kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.
