Lagi penjawat awam ditahan disyaki terima rasuah RM3,000 projek Rumah SMJ

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai balasan membantu meluluskan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada sebuah syarikat kontraktor.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, hari ini.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2024 dengan menerima rasuah kira-kira RM3,000.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah secara berperingkat menerusi dua transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun peribadinya selain turut membabitkan akaun milik anaknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dilepaskan selepas keterangan diambil.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur rasuah lain berkaitan projek berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama