SEMPORNA: Polis memberi amaran keras kepada mana-mana resort di daerah ini yang didapati menghidangkan hidupan liar dilindungi kepada pelanggan, termasuk sebagai menu eksotik.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang membabitkan spesies dilindungi.
“Sebarang aktiviti pemburuan, pemilikan, penjualan atau penyediaan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.
"Tiada kompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menghidangkan hidupan liar dilindungi,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurutnya, antara spesies yang dilindungi sepenuhnya ialah Pangolin (Manis javanica) atau tenggiling yang disenaraikan di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah No. 6 Tahun 1997).
"Tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis termasuk resort dan premis pelancongan untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies berkenaan sebagai makanan.
“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 25(1) enakmen sama, pelaku boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara minimum satu tahun hingga maksimum lima tahun,” katanya.
Tan berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibanteras sepenuhnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang.
"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang kegiatan penyediaan makanan eksotik membabitkan spesies dilindungi. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Terdahulu, sebuah resort di daerah ini yang dipercayai menyediakan hidangan eksotik berasaskan hidupan liar dilindungi diserbu menerusi Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan Jabatan Hidupan Liar bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak.
Serbuan itu menemui seekor tenggiling hidup yang dikategorikan sebagai hidupan liar dilindungi sepenuhnya dan hidangan disyaki membabitkan spesies dilindungi.
