KOTA KINABALU: Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)
menerima Sijil Perakuan Bomba baharu selepas kerja-kerja naik taraf bernilai
RM15 juta dilaksanakan sepanjang lima tahun.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd
Arifin Mohd Arif berkata naik taraf bangunan berusia 40 tahun itu bertujuan
memastikan keselesaan pengunjung serta mematuhi piawaian keselamatan kebakaran
yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Dengan pematuhan piawaian ini, Wisma MUIS menerima
Sijil Perakuan Bomba yang baharu yang mana kali terakhir diberikan pada tahun
1990. Oleh itu, perkara yang sangat penting ialah amalan keselamatan yang
memerlukan latihan berterusan dalam kalangan staf dan kakitangan.
"Dua belas lif diganti baharu, penggantian eskalator
atau tangga bergerak turut diperbaharui. Selain itu, keperluan-keperluan yang
ditetapkan oleh pihak JBPM juga dipenuhi
termasuk kerja-kerja membaiki beberapa kebocoran pada bumbung.
"Kita akan terus memastikan semua syarat-syarat
dipatuhi antaranya penyediaan sistem dan peralatan keselamatan kebakaran serta
kelengkapan memadam kebakaran meskipun bangunan ini berusia 40 tahun,"
katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Bomba Fire Certificate di
Wisma MUIS, pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz
menzahirkan penghargaan kepada MUIS kerana mematuhi penguatkuasaan bangunan di
bawah Perakuan Bomba (Fire Certificate) dan memastikan semua kelengkapan
keselamatan kebakaran mencukupi serta berfungsi dengan baik.
“Kami berharap peralatan dan sistem keselamatan ini sentiasa
dipantau bagi memastikan bangunan mampu menangani sebarang risiko atau insiden
kebakaran,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali
Malai Ahmad, Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali dan Pengarah Wisma Harta
Sdn Bhd, Abd Wahab Ag Yusof.
