RANAU: Sebuah tapak pembinaan di daerah ini digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan, semalam, yang membawa kepada penahanan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina.
Dalam operasi itu, seramai 16 pegawai JIM Negeri Sabah dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau menjalankan pemeriksaan ke atas 38 individu yang berada di lokasi berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati 23 individu disyaki PATI ditahan, terdiri daripada 22 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa, semuanya warganegara Filipina.
Menurut kenyataan JIM Sabah, kesemua individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, selain Seksyen 36 akta sama.
“Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PATI, termasuk di tapak pembinaan.
"Orang ramai juga digesa supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan berkenaan.
" Operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini," katanya


