Kami terkilan, tidak sangka anak didik kami yang ceria pergi tinggalkan kami - Guru Zakat



KOTA KINABALU: Dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-60, hari ini, seorang guru zakat meluahkan rasa terkilan dan tidak menyangka anak muridnya yang dikenal sebagai ceria dan manja, Allahyarhamah Zara Qairina, berakhir dengan tragedi yang amat menyentuh hati.

Seorang guru di Sekolah Anak Negeri (SAN) Naluyan, 38 tahun berkata Zara bukan sekadar seorang murid, sebaliknya dianggap seperti anak sendiri oleh para guru di sekolah tersebut.

“Kami terkilan, kami tidak sangka, seorang anak yang kami didik, yang ceria dan manja jadi begini. Perasaan sedih itu sukar digambarkan.

“Kami harapkan anak-anak yang kami didik ini sihat dan berjaya sebab tu perasaan sedih tu masih rasa sampai hari ini,“ katanya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh beliau mengajar Zara sejak 2023 hingga 2024, allahyarhamah dikenali sebagai murid yang sangat rapat dengan guru, mudah berkawan, serta sentiasa menghormati pendidik dan rakan-rakannya.

“Zara tidak pernah mempunyai masalah disiplin.

“Jika ada salah faham dengan rakan, dia akan datang mengadu dan meminta nasihat. Dia tidak pernah memendam perasaan,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi bahawa kali terakhir bertemu Zara adalah pada Mei 2025 ketika allahyarhamah datang menemuinya pada waktu cuti sekolah.

“Dia beritahu semuanya baik di sekolah menengah. Saya ada tanya, ada yang buli? dan dia cuma cakap, Zara okay jak ustazah, Zara gembira bersekolah disitu.

“Itu yang membuatkan kami lebih terkilan kerana tidak pernah menjangka perkara macam ni akan berlaku,” tambahnya.

Guru zakat ialah seorang guru yang dilantik oleh Pusat Zakat atau institusi agama untuk mengajar dan membimbing murid dalam pendidikan agama Islam dan asas-asas agama di sekolah agama.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama