TUARAN: Program Kebun Dapur di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Makanan (MAFFI) akan diperluaskan ke semua kawasan parlimen di Sabah dalam tempoh terdekat sebagai usaha memperkasa ekonomi rakyat serta memperkukuh keterjaminan makanan negeri.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu disasarkan kepada majoriti penduduk bandar supaya mereka dapat memanfaatkan ruang di sekitar kediaman masing-masing untuk aktiviti pertanian dan penternakan secara kecil-kecilan.
Menurutnya, Kebun Dapur bukan sekadar konsep menanam sayur-sayuran, sebaliknya merangkumi aktiviti menternak ayam, itik, kambing dan ikan yang boleh dijalankan mengikut kesesuaian kawasan.
“Program ini kita sasarkan di semua parlimen. Kita mahu rakyat bandar dan pinggir bandar menggunakan tanah atau ruang yang ada untuk bertani. Bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, tetapi jika ada lebihan hasil, ia boleh dipasarkan dan menambah pendapatan keluarga,” katanya.
Beliau ditemui selepas Program Jelajah Kebun Dapur anjuran MAFFI, semalam.
Mengulas pelaksanaan di kawasan perumahan bertingkat seperti flat dan kondominium, beliau berkata pihaknya sedang berbincang untuk mengenal pasti tanah terbiar atau kawasan yang tidak dibangunkan, termasuk milik agensi atau jabatan tertentu, supaya boleh dimanfaatkan sebagai tapak pertanian komuniti.
Katanya, kawasan berkeluasan antara 10,000 hingga 20,000 kaki persegi dikenal pasti sesuai untuk tujuan ini.
“Pelaksanaan program akan diselaraskan bersama jabatan pertanian,perikanan dan veteriner di setiap Parlimen bagi menentukan lokasi serta kaedah yang sesuai,” jelasnya.
Tambahnya, Kebun Dapur tidak membabitkan subsidi besar-besaran, sebaliknya menawarkan jualan produk pertanian pada harga diskaun serta sokongan kepada komuniti yang berminat.
Selepas pelancaran peringkat awal, program berkenaan akan digerakkan secara berperingkat dari satu parlimen ke satu parlimen di seluruh Sabah dengan kerjasama pemimpin tempatan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat negeri ini.
