TAWAU : Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 terhadap seorang lelaki warga Indonesia selepas didapati bersalah memandu secara melulu sehingga meragut nyawa seorang wanita dalam kemalangan dua tahun lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin turut memerintahkan lesen memandu tertuduh, Samsul Madde, 62, digantung selama lima tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan serta menetapkan hukuman penjara tambahan setahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Dalam keputusannya, beliau berkata mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan.
Mahkamah mendapati tertuduh melanggar Peraturan 3(2)(b) 166/59 apabila memasuki simpang dalam keadaan tergesa-gesa tanpa memastikan keadaan selamat, sehingga menyebabkan kemalangan maut itu.
Selain itu katanya, adalah tidak munasabah untuk tertuduh mendakwa tidak melihat kenderaan dari arah hadapan sekiranya pemerhatian sewajarnya dibuat kerana kejadian berlaku di kawasan yang dilengkapi lampu jalan yang berfungsi dengan baik.
Pada April tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu dan tanpa kecermatan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Suriani Abdul Rahman, 20, di Jalan Bukit Quinn, dekat sini, jam 7.40 malam, 23 Ogos, 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan berlangsung dari 6 hingga 9 Okt 2025, pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi manakala pembelaan mengemukakan tiga saksi termasuk tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh diwakili peguam Philip Lee Lip Min.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dengan syarat notis rayuan dikemukakan hari ini serta tambahan wang jaminan RM2,000.
