Makanan Tradisi Pilihan Pengunjung di Tamu Besar Tahun Baharu Cina

 

KOTA KINABALU : Selama 30 tahun berniaga di Tamu Besar Tahun Baharu Cina, peniaga kuih tradisional Wong Choi Ping, 65 kini masih gigih berniaga pelbagai jenis kuih.

"Ada banyak kuih yang saya buat seperti Angku, kuih keladi, pelbagai jenis kocung, Fa Gao dan Kuih Pelangi serta pelbagai lagi kuih lain.

" Selagi ada permintaan, saya akan sentiasa sediakan kuih tersebut. Syukur suami dan anak-anak membantu, jadi saya akan teruskan perniagaan ini," katanya ketika ditemui petang tadi.

Dalam pada itu, Chong Sun Moi, 81 juga masih meneruskan perniagaan keluarga dengan menjual tanglung dan pelbagai perhiasan dekorasi dinding.

"Namun kami menambah jualan dengan membuat makanan tradisi tetapi divariasikan mengikut citarasa terkini.

"Seperti kuih rumpai laut dan kerepek ngaku ini saya tambahkan keju mengikut permintaan pembeli dan kerepek labu juga masih mendapat permintaan yang tinggi.

"Tetapi kini tidak banyak gerai yang benar-benar menjual barangan dan makanan khusus perayaan menyebabkan pelanggan juga agak berkurangan.

"Mungkin selepas ini boleh ditambah semula jumlah peniaga kaum Cina yang menjual pelbagai barangan keperluan perayaan bagi menarik pelanggan untuk datang  membeli belah tertumpu di satu tempat sahaja," ujarnya.

Lawatan Tamu Besar Tahun Baharu Cina 2026 ini dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Nor.

Terdapat 601 lot gerai dibuka di Jalan Segama pada tahun ini, manakala 74 lagi dibuka di Foh Sang yang turut dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) .

Turut hadir, Ketua Pengarah DBKK, Datuk sr. Lifred Wong dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Operasi, Robert Lipon.

 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama