KOTA KINABALU: Acara strongman dan pameran kereta (Car Show) antara tarikan utama sambutan ulang tahun ke-26 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang menghimpunkan peserta dan pengunjung dari seluruh negara.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pertandingan strongman sangat meriah dengan penyertaan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, selain pameran kereta yang menghimpunkan pelbagai kategori.
“Pada tahun ini, kita tampilkan variasi baharu dalam pameran kereta dengan penyertaan kenderaan ubah suai dan berprestasi tinggi.
“Ini memberi peluang kepada penduduk Kota Kinabalu melihat kepelbagaian jenis kereta serta kreativiti pemiliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sempena sambutan ulang tahun DBKK ke-26 di sini, hari ini.
![]() |
| Mayor (lima dari kanan) dan isteri (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama peserta Car Show, di sini. |
Katanya, kategori khas turut diperkenalkan dalam pameran kereta bagi menilai keunikan kenderaan ubah suai dan penyelenggaraan kenderaan berprestasi tinggi.
“Kita akan menilai keunikan setiap kenderaan serta bagaimana pemilik mengekalkan prestasi dan keselamatan kenderaan mereka,” ujar beliau.
Kategori khas berkenaan akan meliputi dua piala khas ditawarkan termasuk pilihan istimewa mayor dan isteri, melibatkan lebih 30 buah kereta.
Menurutnya, sambutan tersebut turut merangkumi program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar yang melibatkan murid sekolah, penduduk kampung dan persatuan setempat.
“Selain itu, kita telah mengadakan Pesta Selera, Pesta Kesukanan dan esok malam pula akan berlangsung pertandingan tarian seperti Battle of Dance di Imago,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap aktiviti seumpama ini dapat diteruskan sepanjang tahun sempena Tahun Melawat Malaysia (VM2026) dengan kerjasama Tourism Development Corporation dan Kementerian Pelancongan Sabah.
“Kita akan pastikan program yang menarik pelancong diadakan setiap minggu dan bulan bagi menghidupkan bandar serta merancakkan sektor pelancongan,” katanya.
![]() |
| Mayor dan isteri bersama para peserta Strongman edisi ke-5 bagi tahun ini. |
Sementara itu, Ketua Penyelaras KK City Strongman dan Car Show, Aderen Yagang, memaklumkan bahawa hadiah bagi pertandingan strongman kali ini telah dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,500 berserta sijil bagi pemenang pertama.
“Pertandingan Strongman ini mempunyai enam kategori iaitu Dark Walk, Tire Flip, Pummel’s Walk, Trap Pull, Storm Over the Bar dan Deadlift.
“Setiap peserta diberikan masa satu minit 30 saat serta jarak 20 meter atau 40 meter bagi setiap kategori.
“Seramai 16 orang peserta akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini,” tambahnya.


