KOTA KINABALU: Kejayaan meraih pingat emas di peringkat antarabangsa menjadi faktor utama atlet pencak silat dinobatkan sebagai Olahragawati Negeri Sabah 2023 hingga 2024.
Nor Farah Mazlan, 28 tahun berkata, pengiktirafan itu amat bermakna selepas berjaya meraih emas di SEA Games, Kejohanan Asia Dubai serta Kejohanan Dunia Abu Dhabi sepanjang tempoh dua tahun berturut-turut.
“Perasaan saya sangat gembira dan bersyukur kerana ini kemenangan kali kedua selepas sesi 2021–2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2023-2024 yang bertempat di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, cabaran terbesar dalam kariernya adalah untuk terus kekal relevan dalam arena sukan memandangkan kemunculan atlet muda yang semakin ramai dan berdaya saing.
“Saya perlu terus bekerja keras dan mengekalkan prestasi untuk bersaing dengan bakat-bakat baharu yang lebih muda dan kuat,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menyasarkan kejayaan lebih besar tahun ini dengan memburu emas dalam tiga kejohanan utama iaitu Kejohanan Asia, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.
“Secara peribadi, saya mahu meraih emas dalam ketiga-tiga kejohanan ini, insya-Allah,” ujarnya.
Menyentuh latar belakang penglibatan dalam silat, beliau berkata mula mempelajari seni mempertahankan diri itu sejak usia tujuh tahun daripada bapanya sendiri yang juga seorang guru dan jurulatih silat.
Dalam pada itu, anugerah olahragawan turut diraih Muhammad Asnawi, 20 tahun selepas memenangi pingat gangsa pada perlawanan Asian Games Hangzhuo di China.
Menurutnya, penglibatan dalam sukan itu bermula sejak usia enam tahun selepas diperkenalkan oleh bapanya yang juga seorang pemain profesional.
“Saya berasal dari Kota Kinabalu dan bapa saya yang membawa saya masuk ke dalam sukan ini. Saya rasa sukan ini menarik, jadi saya teruskan hingga sekarang,” tambahnya.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata, perjalanan menuju kejayaan bukanlah mudah kerana beliau berdepan pelbagai cabaran dan hampir berputus asa beberapa kali.
“Namun, saya tetap meneruskan usaha sehingga mencapai tahap ini.
“Sasaran saya seterusnya adalah untuk bermain di Olimpik dan mengharumkan nama negara,” katanya.

