TENOM:
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM22.308 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan
Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sabah bagi memperkukuh ekonomi komuniti
pekebun kecil di negeri ini sepanjang tahun 2026, selaras dengan usaha
berterusan memastikan kesejahteraan dan kelangsungan pendapatan rakyat luar
bandar.
Menteri
Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata,
peruntukan tersebut dirangka secara menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti
kebun getah, mempelbagaikan sumber pendapatan serta memperkukuh pembangunan
komuniti desa, khususnya golongan pekebun kecil.
Menurut
beliau, daripada jumlah itu, RISDA Daerah Keningau menerima peruntukan RM4.66
juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di peringkat daerah.
“Fokus
utama peruntukan ini merangkumi Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan,
Program Produktiviti dan Pemasaran serta Program Pengembangan dan Perancangan
yang memberi manfaat langsung kepada pekebun kecil,” ujarnya.
Beliau
berkata demikian ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA
Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan SJK(C) Chung Hwa, Tenom, pada Selasa.
Jamawi
menjelaskan, inisiatif berkenaan merupakan usaha berterusan Kementerian
Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA bagi memastikan komuniti desa
sentiasa menerima maklumat terkini serta sokongan berterusan untuk meningkatkan
pulangan hasil dan kesejahteraan hidup.
“Program
ini bukan sekadar penyampaian bantuan, tetapi platform penting untuk mengangkat
martabat komuniti desa agar lebih berdaya saing dan sejahtera, selari dengan
Aspirasi Desa MADANI,” katanya.
Jamawi
menegaskan keperluan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan pekebun kecil
memandangkan harga getah dunia yang semakin mencabar.
“Pekebun
kecil tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada hasil getah. Kerajaan
sedang memberi tumpuan kepada inisiatif baharu yang mampu membuka peluang
pendapatan tambahan,” tambahnya.
Beliau
memaklumkan Rekod Banci Pekebun Kecil Getah 2023 menunjukkan lebih 24,000
hektar kebun getah matang di Sabah tidak lagi diusahakan, sekali gus menyumbang
kepada penurunan pengeluaran getah asli negara.
Sehubungan
itu, RISDA Sabah turut menerima peruntukan tambahan RM1.5 juta khusus bagi
meningkatkan produktiviti kebun getah melalui pelaksanaan program pemulihan
kebun terbiar, insentif pengeluaran lateks serta penyediaan prasarana ladang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KKDW dan RISDA atas komitmen berterusan dalam membangunkan komuniti desa di Sabah serta berharap kerjasama strategik bersama Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dapat terus diperkukuh.
Beliau juga
menyeru pekebun kecil serta pemilik tanah terbiar agar bekerjasama rapat dengan
agensi berkaitan bagi memastikan tanah dan kebun dapat dimanfaatkan secara
optimum demi kelangsungan ekonomi jangka panjang.
