Sokong pembukaan Konsulat India jika bawa manfaat kepada Sabah - Razali

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik merangkap Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi menyokong cadangan pembukaan Konsulat India di Sabah sekiranya ia memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

Beliau berkata, secara peribadi tiada sebab untuk menolak cadangan itu jika ia membawa kebaikan kepada negara.

“Kalau baik untuk negara, kenapa tidak? Kita tidak perlu berfikir terlalu rumit atau menganggap kita bergantung kepada India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Buffet Ramadan serta Meraihkan Anak-anak Yatim di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, rakyat Sabah bagaimanapun wajar diberikan penjelasan jelas mengenai rasional pembukaan konsulat berkenaan.

“Apa yang rakyat Sabah mahu tahu ialah sebab dan justifikasi mengapa ia dibuka di sini. Bukan kerana membantah, tetapi mereka mahu penjelasan.

“Kalau ia sesuatu yang baik, beritahulah bahawa ia baik. Saya pasti kerajaan tidak akan membuat keputusan yang tidak menguntungkan negeri,” katanya.

Razali turut menyatakan keyakinan bahawa setiap keputusan dibuat kerajaan sudah melalui penelitian sewajarnya demi kepentingan bersama.

Dalam perkembangan lain, beliau menyentuh situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Sabah dan berkata kerajaan sedang menggerakkan agensi berkaitan bagi membantu mangsa terjejas.

Katanya, kejadian itu lebih mencabar kerana berlaku dalam bulan Ramadan.

“Kita perlu bersabar kerana ini adalah bencana alam yang tidak dirancang. 

"Saya yakin kerajaan sedang membantu dan akan terus mendengar serta menangani masalah yang dihadapi,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri program kebajikan anjuran Sabah Oriental Hotel sempena Ramadan yang melibatkan 20 penerima bagi fasa pertama.

Katanya, program itu bertujuan memberi kembali kepada komuniti sebagai menghargai sokongan masyarakat terhadap syarikat berkenaan.

“Kami mahu terus berkongsi rezeki dan membantu golongan memerlukan.

"Harapan saya tahun depan kita dapat lakukan lebih banyak program seperti ini dalam skala lebih besar,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama