KOTA MARUDU: Pemuda Gagasan Rakyat turun padang menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Majlis Daerah Pitas dan PPS SMK Tandek 2, Kota Marudu.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata lawatan bersama pimpinan pemuda itu bertujuan menyatakan solidariti serta memberi sokongan moral kepada mangsa terjejas, sambil beramah mesra dengan petugas yang menguruskan kebajikan mereka.
“Kami menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap semua mangsa banjir yang terjejas serta merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti merangkap ADUN Pitas, Ruddy Awah dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah, Jais Asri.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Semoga semua mangsa banjir terus diberikan kekuatan dan ketabahan dan kita doakan agar keadaan kembali pulih seperti sediakala dalam masa terdekat,” jelasnya.
Setakat hari ini, seramai 3,768 penduduk daripada 1,474 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas akibat banjir yang melanda tiga daerah di Sabah dengan 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka melibatkan daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan.
