Lelaki memandu bawah pengaruh alkohol nyaris maut, pikap langgar bulatan

Kenderaan dipandu lelaki berusia 27 tahun terbabas dan terbalik sebelum melanggar tebing simen konkrit. Foto | PDRM

TAWAU : Seorang lelaki nyaris maut apabila pikap dipandunya melanggar sebuah bulatan jalan yang baharu siap dibina dalam kejadian awal pagi tadi dipercayai ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 1.30 pagi, manakala kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi berhampiran bulatan baharu Sin On, dekat sini.

Beliau berkata kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux Revo yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dari Sandakan, yang berada di Tawau untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dalam perjalanan dari Bandar Tawau menuju ke Taman Dah Hua sebelum dipercayai gagal menyedari kewujudan bulatan di hadapannya lalu merempuh struktur berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, kenderaan terbabas dan terbalik di sebelah kanan jalan sebelum melanggar tebing simen konkrit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bulatan berkenaan difahamkan baru sahaja siap dibina beberapa bulan lalu sebagai sebahagian daripada penambahbaikan infrastruktur jalan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemandu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bibir dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tawau.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. 

"Sampel darah telah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Sabah untuk tujuan analisis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol," ujarnya.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh sabitan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol dan sentiasa berwaspada ketika memandu, khususnya pada waktu malam, demi keselamatan semua pengguna jalan raya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama