KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri
terus memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai
fasa lonjakan baharu bagi memacu daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi
negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Hajiji Noor berkata perkara itu memastikan kemakmuran dapat dinikmati
secara inklusif oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan latar
belakang.
"SMJ 2.0 bukan sekadar
kesinambungan kepada pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya menjadi
pemangkin perubahan menyeluruh yang menuntut peningkatan keupayaan diri
termasuk perubahan cara berfikir, bekerja serta mencipta nilai baharu demi
kesejahteraan rakyat Sabah.
“SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan ke
hadapan yang menekankan pembangunan ekonomi, pemerkasaan modal insan dan
kesejahteraan rakyat.
"Perpaduan kekal sebagai
kunci utama kepada kestabilan serta kemakmuran negeri,” katanya semasa Majlis
Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2026 di Dataran Deasoka, pada Isnin.
Teks ucapannya dibacakan oleh
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang.
Menurut Hajiji, kejayaan
pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberi keyakinan Sabah berada di
landasan tepat, manakala SMJ 2.0 pula dirangka selari dengan pelaksanaan
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
"Pendekatan pembangunan
berterusan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta
mampu menangani cabaran masa depan secara lebih strategik dan bersepadu,"
ujarnya.
Hajiji turut menegaskan
kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum adalah asas
kekuatan sosial Sabah yang perlu terus dipelihara.
"Karnival seperti ini
mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian
budaya, di mana setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling
menghormati dan muhibah,” tambahnya.
Beliau berkata, pendekatan
inklusif kerajaan negeri selari dengan aspirasi membina sebuah Sabah yang aman,
bersatu padu dan sejahtera untuk semua.
Hajiji juga mengiktiraf peranan
penting masyarakat Cina sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri,
khususnya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pemeliharaan
warisan budaya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan
negeri akan terus menyokong inisiatif serta penglibatan aktif pertubuhan
masyarakat Cina sebagai rakan pelaksana agenda pembangunan Sabah di bawah
kerangka Sabah Maju Jaya.
Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah yang menghimpunkan lebih 160 persatuan dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan atas sumbangan berterusan dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan.
Menurutnya, kerjasama erat antara
kerajaan dan pertubuhan masyarakat tanpa mengira kaum amat penting bagi
memastikan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Hadir sama, Menteri Pembangunan
Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan;
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Al Hambra Tun Juhar; Mayor
Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Presiden Gabungan
Persatuan Cina Sabah, Tan Sri Dr. Goh Tian Chuan.
