Sabah lancar RM63 juta solar terapung pertama di Empangan Babagon

Masidi (tengah) ketika ditemui selepas melancarkan projek Solar terapung pertama di Sabah, hari ini. 


KOTA KINABALU: Sabah mencipta sejarah baharu apabila projek menerusi JETAMA Sdn Bhd bernilai RM63 juta untuk solar terapung pertama yang berkapasiti 13.2 megawatt (MW) di Bobagon, dilancarkan hari ini. 

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, projek solar terapung itu bertujuan bagi memperkukuh agenda tenaga boleh diperbaharui dan usaha menstabilkan bekalan elektrik di negeri ini. 

“Satu solar terapung 13.2 MW bersama satu lagi ladang solar di Batu Sapi berkapasiti 15 MW menjadikan jumlah penjanaan kuasa baharu sebanyak 28.2 MW,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan projek berkenaan di Empangan Babagon, Penampang, di sini, pada Rabu. 



Beliau turut menambah bahawa projek ini akan dapat membantu menstabilkan bekalan elektrik di Sabah, khususnya di Pantai Timur.

“Kita tahu salah satu daripada empat kawasan di Sabah mempunyai masalah penjanaan kuasa adalah di Pantai Timur.

“Ini bukan sesuatu yang terlalu besar, tetapi kami harapkan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak lagi inisiatif tenaga boleh diperbaharui di negeri ini,” jelasnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa projek solar terapung pertama di Sabah ini dapat menarik lebih banyak syarikat terlibat dalam penjanaan tenaga hijau pada masa akan datang. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JETAMA Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata kos keseluruhan projek bagi Empangan Babagon adalah RM63 juta.

Manakala, RM53 juta diperuntukkan untuk projek di Batu Sapi, dan kedua-dua projek mempunyai perjanjian operasi selama 25 tahun.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama