KOTA KINABALU: Aktiviti keagamaan
di masjid dan surau diwajibkan mematuhi garis panduan Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan
hukum syarak dan keperluan tauliah.
Pengarah JHEAINS, Datuk Jumain
Abdul Ghani berkata ketetapan itu diperkenalkan menerusi Garis Panduan Aktiviti
Masjid dan Surau Negeri Sabah yang bertujuan menjamin ketertiban, keseragaman
serta keharmonian pelaksanaan aktiviti keagamaan di negeri ini.
"Langkah berkenaan memberi
kesan langsung kepada masyarakat Islam khususnya penganjur aktiviti agar setiap
program yang dirancang mematuhi peraturan syarak serta dasar pentadbiran
jabatan.
"Manakala Garis Panduan
Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Sabah merangkumi hal pengurusan kewangan,
pengurusan fail, kaedah mengimarahkan masjid dan surau secara lebih tersusun
serta berintegriti.
"Ini termasuk pemberian
kuasa eksekutif kepada Pengarah JHEAINS dalam pelantikan dan penamatan
jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri," katanya semasa Majlis
Pelancaran Manual Perancangan Pembangunan Aset Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri
Sabah, pada Selasa.
Majlis pelancaran tersebut
disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd
Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama.
Selain itu, Jumain menjelaskan
orang awam juga menerima manfaat melalui pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan
Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ (PPR) Orang Islam Negeri Sabah yang
diterbitkan sebagai buku panduan rasmi dan seragam.
“Garis panduan PPR ini memastikan
prosedur dilaksanakan dengan jelas dan tersusun selaras dengan peruntukan
undang-undang dan hukum syarak, sekali gus mengurangkan kekeliruan dalam
kalangan masyarakat.
"Kecekapan perkhidmatan
turut dipertingkatkan melalui pendigitalan urusan PPR menggunakan sistem
eKahwin, ePerkahwinan dan Sijil Nikah Digital sejajar dengan Sistem Pengurusan
Kualiti MS ISO, seterusnya mempercepatkan urusan dan memudahkan akses orang
awam," ujarnya.
Di samping itu, Garis Panduan
Pengurusan Taman Perkuburan Islam Negeri Sabah memastikan urusan pengebumian
jenazah dilaksanakan secara lebih teratur, kemas dan berpandukan hukum syarak.
"Perkara yang diperincikan
termasuk ukuran liang lahad serta susun atur kubur bagi memastikan kawasan
perkuburan Islam lebih tersusun dan mudah diurus," tambahnya.
Pelaksanaan garis panduan
berkenaan dilaksanakan JHEAINS untuk meningkatkan kualiti penyampaian
perkhidmatan demi memastikan kebajikan dan kepentingan umat Islam di Sabah
terus terpelihara.
