KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Samuil Mopun berhubung keputusan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka yang berlangsung pada 29 November 2025.
Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Dean Wayne Daly selepas membenarkan Bantahan Awal (Preliminary Objections) yang dikemukakan pihak-pihak responden.
Mahkamah memutuskan petisyen berkenaan gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, termasuk Peraturan 3(1) dan 3(2), Peraturan 4(1), Peraturan 9 serta Peraturan 15 yang menjadi syarat asas untuk menggerakkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya.
Susulan itu, petisyen berkenaan ditolak tanpa perlu melalui perbicaraan penuh. Mahkamah turut memerintahkan kos dibayar kepada semua responden.
Dengan keputusan itu, Datuk Harun Durabi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi DUN Bengkoka seperti yang telah digazetkan sebelum ini.
Dalam prosiding berkenaan, Harun diwakili barisan peguam Mohd Reduan Aklee, Hassan Murtaza, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mortimer Maluda dan Wong Chik Kien.
Responden kedua dan ketiga pula diwakili SFC Ahmad Hanir Hambaly@Alwi serta Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dari Pejabat Peguam Negara.
Petisyen itu difailkan oleh Samuil Mopun yang diwakili peguam Jaikol Situn dan Rijolin Molisin.
Kes berkenaan adalah petisyen pertama yang diputuskan mahkamah berkaitan Pilihan Raya Negeri Sabah yang diadakan pada 29 November 2025.
