TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini pada khamis mensabitkan seorang remaja lelaki warga Indonesia bersalah membunuh kekasihnya yang juga rakan sebaya senegara dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit dekat Kalabakan, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, dalam keputusannya berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Menurutnya, berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap keterangan saksi serta hujahan kedua-dua pihak, kesalahan tersebut jelas menjurus kepada tertuduh yang membunuh mangsa.
“Mahkamah mendapati pembelaan tidak berjaya menggugat kes pendakwaan dan alibi yang dikemukakan gagal menepati beban pembuktian,” katanya ketika menyampaikan keputusan di akhir kes pembelaan, hari ini.
Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 8 April depan bagi pendengaran laporan akhlak daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan tertuduh berusia 13 tahun ketika kejadian, sebelum hukuman diputuskan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Hon Min.
Dalam kejadian antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023, mangsa ditemukan di dalam parit di kawasan ladang berkenaan dengan kecederaan pada bahagian kepala.
