KOTA KINABALU: Agrobank terus komited memperkasakan industri pertanian di Sabah apabila merancang memperluaskan skim takaful tanaman kepada lebih banyak subsektor dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Chan Foong Hin berkata, komitmen itu membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memajukan sektor pertanian negeri ini.
Katanya, Agrobank sebagai institusi kewangan di bawah KPKM memainkan peranan penting dalam menyokong komuniti tani termasuk petani, nelayan dan penternak yang terdedah kepada risiko cuaca serta ancaman penyakit.
“Model perniagaan sektor pertanian amat bergantung kepada keadaan cuaca dan ancaman penyakit. Bukan semua institusi kewangan sanggup menanggung risiko ini.
“Justeru, kita menghargai komitmen Agrobank yang sentiasa bersama rakyat, khususnya komuniti tani,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah hotel di sini, semalam.
Pada majlis sama, turut diadakan simbolik penyerahan takaful padi kepada pesawah di Sabah melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah.
Skim takaful itu bertujuan melindungi pesawah daripada kerugian akibat bencana seperti banjir serta faktor luar jangka, sekali gus mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung mereka.
Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, Agrobank merancang memperluaskan skim perlindungan itu bukan sahaja kepada pesawah, malah meliputi tanaman lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
“Langkah ini penting bagi memastikan lebih ramai pengusaha sektor agromakanan mendapat perlindungan sewajarnya, seterusnya menjamin kelangsungan industri pertanian negeri,” katanya.
Beliau pada masa sama mencadangkan supaya Agrobank mempertimbangkan pembukaan atau peluasan cawangan di Tenom bagi memudahkan urusan pembiayaan dan perkhidmatan kewangan kepada petani setempat.
Katanya, hasil lawatan ke Tenom mendapati ramai petani terpaksa berulang-alik ke Keningau untuk berurusan dengan Agrobank.
“Saya berharap pihak pengurusan Agrobank dapat mempertimbangkan cadangan ini demi memudahkan akses komuniti tani kepada kemudahan kewangan.
"Usaha memperkukuh akses pembiayaan, perlindungan takaful serta jaringan perkhidmatan perlu diperkasa bagi memastikan industri pertanian Sabah lebih berdaya tahan dan mampan," katanya.
