![]() |
| Mr. Yasu bersama pihak Mari Mari Cultural Village, guru-guru dan para pelajar tahap 2 SK Mutiara mengambil gambar kenangan selepas habis sesi pembelajaran, di sini, hari ini. |
KOTA KINABALU: Seni bukan sekadar ekspresi diri, sebaliknya mampu menjadi medium mendidik generasi muda agar lebih prihatin dan baik hati, menurut pelukis airbrush dari Jepun, Yasuaki Takahashi.
Lebih mesra dengan gelaran Mr Yasu, 52 tahun berkata, beliau mendapati bahawa majoriti pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Rendah Mutiara yang mengikuti kelas melukisnya hari ini mempunyai bakat sudah pandai melukis.
“Jadi, dengan kemahiran yang sedia ada, saya cuba mencetuskan idea bagaimana kemahiran itu boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain. Contohnya, membantu rakan atau orang lain.
“Kelas ini bukan hanya tentang melukis untuk diri sendiri. Apabila pelajar boleh melukis, mereka boleh menggunakan kemahiran itu untuk membantu rakan dan orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program CSR artis Airbrush dari Jepun bersama pelajar Tahap 2 yang bertempat di SK Rendah Mutiara, Iramanis, di sini, hari ini.
Mr Yasu turut meluahkan rasa kagum terhadap tahap kemahiran para pelajar dan kesungguhan mereka dalam melukis.
Katanya, beliau juga bersedia jika diberi peluang untuk berkolaborasi serta mempamerkan hasil seni lukisan airbrushnya di Sabah.
“Sekarang, saya sedang menjalankan kerjasama dengan pihak Mari Mari Cultural Village, saya berharap akan ada banyak lagi projek yang dapat saya jalankan di luar, mungkin membuat live painting performance,” ujar beliau.
Beliau yang mempunyai pengalaman selama 28 tahun dalam bidang seni airbrush berkata, melalui seni, manusia dapat menjadi lebih baik, bukan sahaja terhadap sesama manusia, tetapi juga terhadap semua makhluk hidup.
“Saya juga berharap akan dapat memberi kebaikan kepada orang lain.
“Pada akhirnya, seni hanyalah seperti gambar di atas kertas, tetapi saya berharap orang ramai dapat melihatnya sebagai satu mesej untuk menjadi lebih baik dan berbelas kasihan terhadap semua makhluk,” tambahnya.
![]() |
| Hubert berkongsi bahawa bendera Jepun dipilih kerana terlihat cantik dan ingin menggambarkan elemen sejarah dalam lukisannya. |
Menurutnya, sesi pembelajaran itu memberi pengalaman baru, terutamanya teknik airbrush yang belum pernah dipelajari dalam matapelajaran Pendidikan Seni dan Visual (PSV) sebelum ini.
“Terima kasih guru besar dan terima kasih Mr. Yasu. Saya sangat bersyukur dengan peluang ini, saya berharap akan ada sesi seperti ini lagi nanti,” katanya.

