Padah miliki kad ATM orang lain, lelaki didenda RM20,000

Tertuduh, Yunso Eso didenda RM20,000 atas kesalahan memiliki kad ATM milik orang lain. Foto/SS

TAWAU : Seorang lelaki didenda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain yang digunakan sebagai alat menerima dan memindah wang hasil jenayah penipuan dalam talian.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Yunsa Eso Mhd Yunus, 36, atau penjara selama 18 bulan sekiranya gagal membayar denda.


Dalam keputusannya, majistret menegur tertuduh dengan tegas sambil menyatakan adalah mustahil seseorang tidak menyedari perbuatannya terlibat dengan sindiket penipuan.


“Bagaimana kad ATM orang lain ada dengan kamu? Kamu tahu itu adalah sindiket penipuan dan mustahil kamu tiada rasa pelik,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada empat anak itu didakwa memiliki tanpa kuasa yang sah satu instrumen pembayaran iaitu sekeping kad ATM Maybank milik orang lain sebagai alat untuk menerima atau memindah wang hasil jenayah penipuan.


Perbuatan itu dilakukan di Kampung Barisan, di sini, kira-kira jam 5 petang pada 30 Januari lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama