Guarana tetap dilarang, Jamawi ‘jawab’ Jeffrey

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan penanaman, pengimportan dan penyelidikan pokok guarana tetap dilarang di negeri ini, sekali gus menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan bahawa tanaman itu sah dan bebas penyakit.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendirian itu dibuat berasaskan undang-undang kuarantin tumbuhan serta pemakluman rasmi Kerajaan Brazil selaku negara asal guarana.

Menurutnya, Jabatan Pertanian Malaysia sudah menjelaskan bahawa pengimportan dan penanaman guarana tidak dibenarkan di Malaysia termasuk Sabah, manakala di peringkat negeri, tiada sebarang kelulusan pernah diberikan.


“MAFFI melalui Jabatan Pertanian Sabah tidak pernah meluluskan permit import, pembiakan atau penanaman guarana.

"Sebarang bahan tanaman guarana yang berada di Sabah adalah dibawa masuk secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jamawi berkata, larangan itu bertujuan melindungi industri pertanian negeri, khususnya sektor getah, daripada risiko penyakit berbahaya seperti South American Leaf Blight (SALB) yang boleh menyebabkan kehilangan hasil lateks dan kematian pokok.

Beliau menjelaskan, guarana berasal dari Lembah Amazon di Brazil yang dikenal pasti sebagai kawasan endemik SALB, penyakit kulat yang disenaraikan sebagai perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

“Sabah mempunyai lebih 241,000 hektar tanaman getah dengan pengeluaran hampir 76,000 tan setahun. 

"Risiko kemasukan penyakit ini boleh menjejaskan pendapatan pekebun kecil dan industri getah negeri,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa benih guarana yang ditanam di Sabah sudah dikuarantin dan bebas penyakit, Jamawi menegaskan sebarang bahan tanaman yang tidak melalui prosedur rasmi pengimportan dan kuarantin adalah melanggar undang-undang.

Katanya, di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, membawa masuk atau menanam tumbuhan tanpa kebenaran bertulis Pengarah Pertanian Sabah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

"Guarana juga berisiko membawa penyakit lain seperti Colletotrichum guaranicola yang boleh menyerang tanaman makanan termasuk pisang, betik, mangga dan cili, sekali gus mengancam keselamatan agromakanan negeri," katanya. 

Jamawi berkata, Pengisytiharan Tumbuhan Berbahaya 2025 yang diwartakan pada Disember lalu turut memperkukuh larangan terhadap bahan tanaman yang dibawa masuk atau dibiakkan tanpa tatacara kuarantin sah.

“Walaupun ada pihak mendakwa guarana tidak tersenarai sebagai tanaman diharamkan, undang-undang kuarantin tumbuhan negeri tetap terpakai. 

"Aktiviti berkaitan guarana di Sabah ketika ini adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau menggesa semua pihak supaya tidak terlibat dalam pengimportan, pembiakan, penanaman atau penyelidikan guarana dan mematuhi sepenuhnya peraturan sedia ada demi melindungi industri pertanian, biodiversiti dan keterjaminan makanan Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama