KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan
Pelaburan Sabah (SEDIA) terus konsisten melaksanakan peranannya sebagai pihak
berkuasa utama dalam memacu pembangunan wilayah di Sabah.
Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan
berkata komitmen itu dilaksanakan selaras dengan mandat yang termaktub dalam
enakmen penubuhan agensi berkenaan.
“Sokongan padu serta kerjasama erat daripada pelbagai agensi
negeri dan persekutuan membolehkan SEDIA melaksanakan amanah yang termaktub
dalam enakmen penubuhannya dengan jaya.
“Sepanjang tempoh dari
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga Rancangan Malaysia Kedua
Belas (RMK12), SEDIA konsisten menggalas tanggungjawab sebagai pihak berkuasa
utama dalam memacu pembangunan wilayah di Sabah,” katanya ketika Majlis Sungkai
Kurung-Kurung Bersama Ketua Menteri Sabah di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Majlis tersebut dianjurkan bagi memperkukuh silaturahim,
menyemai semangat kebersamaan serta menghargai sumbangan rakan strategik di
negeri ini.
Dalam pada itu, Hashim turut memperkenalkan kepimpinan SEDIA
yang diterajui oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,
manakala Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam
sebagai Timbalan Pengerusi.
Pada majlis sama, 16 sekolah tahfiz dan pusat pengajian
berdaftar menerima Sumbangan Kasih Ramadan yang disampaikan oleh Hajiji sebagai
tanda keprihatinan kerajaan negeri.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri
Panglima Sr. Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali
Wahab serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
