KOTA KINABALU: Seorang pekerja lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan pada mata dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah stor kilang di Jarri Engineering Sdn Bhd, di sini, petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 6.17 petang sebelum sepasukan anggota dari BBP Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 6.26 petang selepas menempuh jarak kira-kira empat kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah stor kilang penyimpanan peralatan kenderaan berkeluasan 40x20 kaki persegi jenis kekal dan dianggarkan terbakar 15 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang cedera dipercayai terkena nozel water jet semasa operasi dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba di tempat kejadian.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 6.40 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.20 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” tambahnya.
